PERDANA MENTERI MALAYSIA

PERDANA MENTERI MALAYSIA

Wednesday 7 May 2014

HUDUD: Veteran UMNO, KMPP sokong Pas.

KUALA LUMPUR 12 April - Usaha Pas untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan terus mendapat sokongan umat Islam termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu parti itu terus berpendirian teguh terhadap keputusannya itu.

Setiausaha Agung Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub berkata, pihaknya yakin Pas kini tidak akan terperangkap dengan pendirian sekutunya DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang tetap tidak berganjak menolak pelaksanaan hukum tersebut.

"Sudah lama Pas menjaga hati mereka sehingga terpaksa mengorbankan dasar dan prinsip perjuangannya. Sekarang masa Pas bangkit dengan megahnya untuk meneruskan cita-cita murni yang diperjuangkan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan Kerajaan Negeri Kelantan sebelum ini yang mengumumkan untuk membawa usul rang undang-undang persendirian dalam sidang Dewan Rakyat akan datang bagi melaksanakan hukum hudud di negeri itu menjelang 2015.

Keputusan tersebut susulan kesediaan Kerajaan Persekutuan memberi laluan kepada mana-mana negeri bagi menguatkuasakan hukum hudud di negeri masing-masing.
Bagaimanapun, keputusan itu ditentang oleh DAP yang tetap tidak berganjak dengan pendirian menolak pelaksanaan hukum hudud di negara ini.

Mustapha berkata, Veteran UMNO dengan ikhlas menyokong keputusan Pas itu dan mahu melihat Kelantan melaksanakan hukum hudud sama seperti di Brunei.

"Veteran UMNO menyeru seluruh ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO menyokong usul persendirian yang akan dibentang oleh Pas nanti untuk membuktikan yang selama ini UMNO tidak pernah menghalang pelaksanaan hukum hudud di negara ini," katanya.

Sementara itu, Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP), Rahmad Isahak berkata, keputusan Pas itu harus dipuji sekalipun parti itu terpaksa berhadapan dengan halangan besar daripada sekutunya.
Katanya, alasan DAP dan PKR bahawa hudud bukan sebahagian daripada persetujuan pakatan pembangkang tidak sepatutnya menghalang Pas daripada terus menegakkan syiar Islam.


"Saya yakin langkah berani tersebut diambil Pas kerana parti itu sudah mula menyedari kelalaian mereka dalam menegakkan syiar Islam selagi bersekongkol di bawah pakatan pembangkang," katanya.

No comments:

Post a Comment