PERDANA MENTERI MALAYSIA

PERDANA MENTERI MALAYSIA

Sunday 27 May 2012

VETERAN UMNO TEMUI MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN SELASA INI

Dato' Raja Nong Chik, Menteri WP & Kesejahteraan Bandar
Veteran UMNO Wilayah Persekutuan akan mengadakan kunjungan hormat terhadap Senator Dato' Raja Nong Chik Bin Dato' Raja Zainal Abidin, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar pada hari Selasa ini, 29 Mei 2012, jam 5.00 petang, di pejabatnya di Tingkat 6, Bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Ini merupakan kunjungan hormat pertama Jawatankuasa Veteran UMNO Wilayah Persekutuan selepas ianya dilancarkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden UMNO pada 23 April lepas.

Sebagai sebahagian daripada entiti UMNO di Wilayah Persekutuan ini, Veteran UMNO Wilayah Persekutuan merasakan siri pertemuan dengan pemimpin-pemimpin parti dan juga menteri-menteri yang berkaitan akan menjadi agenda kegiatan pertubuhan ini. Banyak perkara yang boleh dikemukakan kepada mereka demi untuk memperjuangkan hak dan juga kepentingan pejuang-pejuang veteran UMNO yang telah banyak menyumbangkan jasa bakti dalam memperteguhkan perjuangan UMNO sejak ia ditubuhkan.

Jangan ada yang terlupa bahawa sebahagian sejarah perjuangan negara bangsa ini adalah cetusan daripada perjuangan veteran UMNO hari ini. Apabila kita menoleh sejarah terdahulu, tidak dapat tidak kita juga akan mengupas serba sedikit tentang susur galur perjuangan  mereka. Golongan muda hari ini tidak mungkin dapat mengecapi nikmat kegemilangan bangsa dan negara jika negara kita masih di bawah belengu penjajahan. 

Sesungguhnya perjuangan kemerdekaan negara adalah perjuangan untuk memartabatkan sistem politik negara ini daripada sistem penjajahan kepada sistem demokrasi berparlimen yang memberi kebebasan kepada rakyat negara ini memilih dan membentuk kerajaannya sendiri. 

Atas keinsafan dan kesedaran itulah, maka Veteran UMNO Wilayah Persekutuan di bawah kepimpinan Datuk Zakaria Saleh bersedia memikul tanggungjawab ini untuk mewarnai kelangsungan perjuangan UMNO tanpa meminggirkan pejuang terdahulu. Banyak perkara yang boleh diberikan perhatian untuk mengenang budi mereka ini.

Diharapkan pertemuan Veteran UMNO WP dengan Dato' Raja Nong Chik yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan dapat memantapkan lagi fungsi Veteran UMNO dalam hala tuju transformasi politik yang digagaskan oleh Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak. 

Banyak perkara yang boleh dilakukan terhadap Veteran UMNO, bukan sahaja memikirkan tentang insentif mengenang budi mereka, malah Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan bandar juga wajar mewujudkan suatu skim pengiktirafan kepada mereka supaya peranan politikus veteran ini dapat dirakyatkan, bukan sekadar picisan 'bahan kitar semula'. 


No comments:

Post a Comment