PERDANA MENTERI MALAYSIA

PERDANA MENTERI MALAYSIA

Tuesday 29 May 2012

RAJA NONG CHIK MENSASARKAN 7-8 KERUSI BN MENANG DI WP

Raja Nong Chik (Empat dari Kiri) bersama pemimpin Veteran UMNO WP

Datuk Zakaria Saleh (Kiri), Datuk Rahim Baba (Kanan), manakala
Raja Nong Chik (Tengah)...serius membincangkan isu-isu semasa di WP


Senator Dato' Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar menyatakan tekadnya untuk Barisan Nasional memenangi di tujuh buah kawasan parlimen di Wilayah Persekutuan dalam PRU13 nanti.

Barisan Nasional menerusi UMNO menurutnya mempunyai keyakinan untuk mengekalkan kemenangannya di tiga kawasan parlimen iaitu di Setiawangsa, Putrajaya dan Labuan. Manakala UMNO/BN berazam untuk merampas semula kerusi di Parlimen Lembah Pantai, Parlimen Titiwangsa yang telah dimenangi oleh PKR dan PAS dalam pilihan raya umum ke-12 yang lepas.

Beliau menyatakan demikian ketika mengadakan pertemuan dengan Ahli Jawatankuasa Perhubungan Veteran UMNO Wilayah Persekutuan yang diketuai oleh Datuk Zakaria Saleh di pejabatnya di Bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur petang kelmarin (29 Mei 2012).

AJK Veteran UMNO WP yang hadir
Tekun mendengar penerangan daripada Raja Nong Chik

Dalam pada itu Raja Nong Chik yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan mengharapkan BN Wilayah Persekutuan kali ini dapat melakukan perubahan ketara bagi tiga kawasan parlimen yang pernah dimenangi oleh BN sebelum ini, iaitu di Parlimen Wangsa Maju, Parlimen Batu dan juga Parlimen Bandar Tun Razak. Dalam PRU yang lepas ketiga-tiga kerusi ini tewas di tangan pembangkang.

Wilayah Persekutuan mempunyai 13 kerusi Parlimen termasuk Bukit Bintang, Seputeh, Cheras, Kepong dan juga Segambut yang masing-masing telah dimenangi oleh DAP. Raja Nong Chik yang baru saja dilantik menjadi Pengarah Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional Wilayah Persekutuan mengharapkan Veteran UMNO dapat memainkan peranan untuk berdamping dengan pengundi-pengundi Melayu 'atas pagar' terutama di kalangan pesara-pesara dalam sektor swasta. 

Mengikuti penerangan yang diberikan oleh Raja Nong Chik

Beliau yakin dengan pengalaman luas yang dimiliki oleh Veteran UMNO ini diharapkan dapat membantu memperkuatkan jentera UMNO untuk memenangi hati pengundi-pengundi kepada Barisan Nasional. Menurutnya, Veteran UMNO juga boleh menyelaraskan bilik gerakan sendiri di setiap Bahagian dengan mendapat kerjasama daripada jentera pilihan raya di peringkat parlimen masing-masing. Beliau akan memikirkan kaedah terbaik supaya Veteran UMNO dapat berperanan untuk membantu gerak kerja kempen dalam pilihan raya umum.

Di dalam pertemuan lebih satu jam itu, Raja Nong Chik telah memberikan suntikan semangat kepada Veteran UMNO Wilayah Persekutuan. Di antara pemimpin-pemimpin lain Veteran UMNO Wilayah Persekutuan yang kelihatan di dalam pertemuan itu ialah Datuk Rahim Baba, Naib Pengerusi Veteran UMNO Wilayah Persekutuan yang juga Pengerusi Bahagian Bandar Tun Razak, Puan Salasiah Mohamad, Naib Pengerusi (Wanita), Zainuddin Othman, Setiausaha yang juga Pengerusi Veteran Wangsa Maju dan Yusof Merah, Ketua Penerangan yang juga Pengerusi Veteran Bahagian Titiwangsa.

Turut serta dalam kunjungan hormat itu juga ialah Datuk Azrat Gull, Pengerusi Veteran Bahagian Batu, Haji Redzuan Ghani, Pengerusi Veteran Bahagian Cheras, Haji Abdul Rahim Abdullah, Pengerusi Veteran Bahagian Setiawangsa, Kamarudin Zainal Abidin, Ketua Penerangan Veteran Bahagian Setiawangsa dan juga Abdul Rahman Hashim, Setiausaha Kerja Veteran UMNO Wilayah Persekutuan.

No comments:

Post a Comment