PERDANA MENTERI MALAYSIA

PERDANA MENTERI MALAYSIA

Tuesday, 29 May 2012

RAJA NONG CHIK MENSASARKAN 7-8 KERUSI BN MENANG DI WP

Raja Nong Chik (Empat dari Kiri) bersama pemimpin Veteran UMNO WP

Datuk Zakaria Saleh (Kiri), Datuk Rahim Baba (Kanan), manakala
Raja Nong Chik (Tengah)...serius membincangkan isu-isu semasa di WP


Senator Dato' Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar menyatakan tekadnya untuk Barisan Nasional memenangi di tujuh buah kawasan parlimen di Wilayah Persekutuan dalam PRU13 nanti.

Barisan Nasional menerusi UMNO menurutnya mempunyai keyakinan untuk mengekalkan kemenangannya di tiga kawasan parlimen iaitu di Setiawangsa, Putrajaya dan Labuan. Manakala UMNO/BN berazam untuk merampas semula kerusi di Parlimen Lembah Pantai, Parlimen Titiwangsa yang telah dimenangi oleh PKR dan PAS dalam pilihan raya umum ke-12 yang lepas.

Beliau menyatakan demikian ketika mengadakan pertemuan dengan Ahli Jawatankuasa Perhubungan Veteran UMNO Wilayah Persekutuan yang diketuai oleh Datuk Zakaria Saleh di pejabatnya di Bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur petang kelmarin (29 Mei 2012).

AJK Veteran UMNO WP yang hadir
Tekun mendengar penerangan daripada Raja Nong Chik

Dalam pada itu Raja Nong Chik yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan mengharapkan BN Wilayah Persekutuan kali ini dapat melakukan perubahan ketara bagi tiga kawasan parlimen yang pernah dimenangi oleh BN sebelum ini, iaitu di Parlimen Wangsa Maju, Parlimen Batu dan juga Parlimen Bandar Tun Razak. Dalam PRU yang lepas ketiga-tiga kerusi ini tewas di tangan pembangkang.

Wilayah Persekutuan mempunyai 13 kerusi Parlimen termasuk Bukit Bintang, Seputeh, Cheras, Kepong dan juga Segambut yang masing-masing telah dimenangi oleh DAP. Raja Nong Chik yang baru saja dilantik menjadi Pengarah Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional Wilayah Persekutuan mengharapkan Veteran UMNO dapat memainkan peranan untuk berdamping dengan pengundi-pengundi Melayu 'atas pagar' terutama di kalangan pesara-pesara dalam sektor swasta. 

Mengikuti penerangan yang diberikan oleh Raja Nong Chik

Beliau yakin dengan pengalaman luas yang dimiliki oleh Veteran UMNO ini diharapkan dapat membantu memperkuatkan jentera UMNO untuk memenangi hati pengundi-pengundi kepada Barisan Nasional. Menurutnya, Veteran UMNO juga boleh menyelaraskan bilik gerakan sendiri di setiap Bahagian dengan mendapat kerjasama daripada jentera pilihan raya di peringkat parlimen masing-masing. Beliau akan memikirkan kaedah terbaik supaya Veteran UMNO dapat berperanan untuk membantu gerak kerja kempen dalam pilihan raya umum.

Di dalam pertemuan lebih satu jam itu, Raja Nong Chik telah memberikan suntikan semangat kepada Veteran UMNO Wilayah Persekutuan. Di antara pemimpin-pemimpin lain Veteran UMNO Wilayah Persekutuan yang kelihatan di dalam pertemuan itu ialah Datuk Rahim Baba, Naib Pengerusi Veteran UMNO Wilayah Persekutuan yang juga Pengerusi Bahagian Bandar Tun Razak, Puan Salasiah Mohamad, Naib Pengerusi (Wanita), Zainuddin Othman, Setiausaha yang juga Pengerusi Veteran Wangsa Maju dan Yusof Merah, Ketua Penerangan yang juga Pengerusi Veteran Bahagian Titiwangsa.

Turut serta dalam kunjungan hormat itu juga ialah Datuk Azrat Gull, Pengerusi Veteran Bahagian Batu, Haji Redzuan Ghani, Pengerusi Veteran Bahagian Cheras, Haji Abdul Rahim Abdullah, Pengerusi Veteran Bahagian Setiawangsa, Kamarudin Zainal Abidin, Ketua Penerangan Veteran Bahagian Setiawangsa dan juga Abdul Rahman Hashim, Setiausaha Kerja Veteran UMNO Wilayah Persekutuan.

Sunday, 27 May 2012

VETERAN UMNO TEMUI MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN SELASA INI

Dato' Raja Nong Chik, Menteri WP & Kesejahteraan Bandar
Veteran UMNO Wilayah Persekutuan akan mengadakan kunjungan hormat terhadap Senator Dato' Raja Nong Chik Bin Dato' Raja Zainal Abidin, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar pada hari Selasa ini, 29 Mei 2012, jam 5.00 petang, di pejabatnya di Tingkat 6, Bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Ini merupakan kunjungan hormat pertama Jawatankuasa Veteran UMNO Wilayah Persekutuan selepas ianya dilancarkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden UMNO pada 23 April lepas.

Sebagai sebahagian daripada entiti UMNO di Wilayah Persekutuan ini, Veteran UMNO Wilayah Persekutuan merasakan siri pertemuan dengan pemimpin-pemimpin parti dan juga menteri-menteri yang berkaitan akan menjadi agenda kegiatan pertubuhan ini. Banyak perkara yang boleh dikemukakan kepada mereka demi untuk memperjuangkan hak dan juga kepentingan pejuang-pejuang veteran UMNO yang telah banyak menyumbangkan jasa bakti dalam memperteguhkan perjuangan UMNO sejak ia ditubuhkan.

Jangan ada yang terlupa bahawa sebahagian sejarah perjuangan negara bangsa ini adalah cetusan daripada perjuangan veteran UMNO hari ini. Apabila kita menoleh sejarah terdahulu, tidak dapat tidak kita juga akan mengupas serba sedikit tentang susur galur perjuangan  mereka. Golongan muda hari ini tidak mungkin dapat mengecapi nikmat kegemilangan bangsa dan negara jika negara kita masih di bawah belengu penjajahan. 

Sesungguhnya perjuangan kemerdekaan negara adalah perjuangan untuk memartabatkan sistem politik negara ini daripada sistem penjajahan kepada sistem demokrasi berparlimen yang memberi kebebasan kepada rakyat negara ini memilih dan membentuk kerajaannya sendiri. 

Atas keinsafan dan kesedaran itulah, maka Veteran UMNO Wilayah Persekutuan di bawah kepimpinan Datuk Zakaria Saleh bersedia memikul tanggungjawab ini untuk mewarnai kelangsungan perjuangan UMNO tanpa meminggirkan pejuang terdahulu. Banyak perkara yang boleh diberikan perhatian untuk mengenang budi mereka ini.

Diharapkan pertemuan Veteran UMNO WP dengan Dato' Raja Nong Chik yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan dapat memantapkan lagi fungsi Veteran UMNO dalam hala tuju transformasi politik yang digagaskan oleh Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak. 

Banyak perkara yang boleh dilakukan terhadap Veteran UMNO, bukan sahaja memikirkan tentang insentif mengenang budi mereka, malah Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan bandar juga wajar mewujudkan suatu skim pengiktirafan kepada mereka supaya peranan politikus veteran ini dapat dirakyatkan, bukan sekadar picisan 'bahan kitar semula'. 


Saturday, 26 May 2012

VETERAN UMNO DI JANDA BAIK MENGUPAS ISU SEMASA

Pemimpin-pemimpin Veteran UMNO dari seluruh negara berkampung di Kem ILMU, dekat Janda Baik, Bentong selama 3 hari bermula 25, 26 dan 27 Mei 2012. Dato' Seri Zahid Hamidi, Dato' Seri Shafie Apdal, Dato' Ahmad Maslan dan Tengku Adnan Mansor di antara pemimpin-pemimpin kanan UMNO yang menyampaikan penerangan berhubung dengan isu-isu politik semasa kepada semua peserta yang mengambil bahagian di dalam kursus ini. 

Seramai 400 orang peserta mewakili setiap negeri telah mengambil bahagian di dalam kursus ini. Veteran UMNO Wilayah Persekutuan telah menghantar seramai 30 orang peserta yang diketuai oleh Pengerusinya, Datuk Zakaria Saleh. 


Kedua-dua Naib Presiden UMNO, Zahid Hamidi dan Shafie Apdal telah memberikan suntikan semangat kepada semua peserta veteran UMNO supaya sokongan akar umbi dapat diperkuatkan menjelang PRU13. 
Banner Kursus terpampang pada jalan masuk ke Kem ILMU
Sebuah batu besar menghiasi lanskap di hadapan dewan makan
Dewan Besar Kem ILMU

Asrama penginapan peserta kursus
Abd Rahman Hashim (SUK Veteran UMNO) & Kamarudin Za 
(Wakil Setiawangsa) di hadapan asrama penginapan.
Datuk Zakaria Saleh membasuh cawan minuman di dewan makan.
Dari kiri - Datuk Zakaria Saleh & Kamarudin Za
Datuk Zakaria Saleh bersama Abd Rahman Hashim (SUK)
Abd Rahman Hashim (SUK) bersama peserta-peserta veteran.
Sempat merakamkan gambar bersama Dato' Seri Shafie Apdal
Dato' Seri Shafie Apdal beramah mesra dengan Veteran UMNO.

Menyambut ketibaan Dato' Seri Zahid Hamidi

Monday, 21 May 2012

KURSUS VETERAN UMNO DI JANDA BAIK, BENTONG.

Kem ILMU di Janda Baik, Bentong.

Veteran UMNO Wilayah Persekutuan akan menghantar seramai 40 pesertanya menyertai 'Kursus Veteran Pemangkin Negara' yang akan diadakan selama tiga hari bermula pada 25, 26 dan 27 Mei 2012 di Kem ILMU, Janda Baik, Bentong.Kursus ini dikendalikan oleh Bahagian Penerangan UMNO Malaysia.

Dijangkakan seramai 400 peserta dari seluruh negara akan mengambil bahagian dalam kursus ini yang meliputi pemimpin-pemimpin veteran UMNO dari setiap Bahagian, bekas-bekas wakil rakyat, bekas-bekas AJK Bahagian/Cawangan termasuk bekas-bekas pegawai Jasa, Kemas dan juga JKKK.

Bagi peringkat Veteran UMNO Wilayah Persekutuan, setiap Bahagian hendaklah menamakan sekurang-kurangnya tiga orang dari bahagian masing-masing. Semua nama peserta hendaklah dihantar segera kepada urusetia Veteran UMNO Wilayah Persekutuan di Tingkat 23 Menara Dato' Onn atau menghubungi Pengerusinya, Datuk Zakaria Saleh (No. Telefon 0162214359) atau Setiausaha Kerja, Abdul Rahman Hashim (No. Telefon 0102614833).

Semua peserta yang berkenaan dikehendaki berada di PWTC pada hari Jumaat, 25 Mei 2012 pada jam 9.00 pagi, kerana bas yang disediakan akan bertolak dari sana menuju ke Kem ILMU, Janda Baik, Bentong.

Friday, 18 May 2012

'VETERAN UMNO' PEMBELA AHLI-AHLI VETERAN UMNO

Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasnikan penubuhan Veteran UMNO WP
Oleh Abdul Rahman Hashim

TAHNIAH di atas penubuhan Veteran UMNO Wilayah Persekutuan. Terpahat di dalam lipatan sejarah UMNO Wilayah Persekutuan kerana telah terbentuknya Jawatankuasa Penaja Veteran UMNO Wilayah Persekutuan yang telah dirasmikan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden UMNO yang juga  Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan pada 23 April 2012 yang lalu.

Auditorium Felcra yang terletak di Jalan Rejang, Setapak Jaya, Kuala Lumpur merupakan venue yang menjadi saksi penubuhannya dengan kehadiran tokoh-tokoh veteran UMNO yang masih kental jiwa perjuangan mereka, walaupun mereka tidak lagi menggalas jawatan-jawatan penting yang pernah dipikul sebelum ini. Ternyata sebahagian besar anggota veteran UMNO yang memenuhi auditorium itu begitu bersemangat ketika menyanyikan lagu 'BERSATU BERSETIA BERKHIDMAT' iaitu lagu rasmi UMNO sebelum ia dirasmikan oleh Timbalan Presiden UMNO.

Datuk Haji Zakaria Saleh, 67 telah dinobatkan sebagai Pengerusi penaja Veteran UMNO Wilayah Persekutuan. Beliau adalah mantan Ketua UMNO Bahagian Seputeh dan pernah juga aktif di dalam era Pemuda sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Damansara (Kini, Bahagian Lembah Pantai) pada tahun 1978 - 1980.

Tan Sri Muhyiddin berbual mesra dengan Dato' Sri Zulhasnan & Datuk Zakaria
Tan Sri Muhyiddin bersama-sama dengan Dr Suleiman dan Zakaria Saleh
Datuk Zakaria Saleh mempengerusi mesyuarat AJK Veteran UMNO WP.
Kelihatan juga Datuk Rahim Baba (Di foto - Kanan sekali). 

Yusof Merah (Tiga dari kanan) dan Salasiah Mohamad (Kiri sekali)
Sementara itu Dato' Mohamad. Kamal Hussain, mantan Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai yang juga mantan Ahli Parlimen Lembah Pantai telah dipilih sebagai Timbalan Pengerusi; diikuti dengan Datuk Rahim Baba, mantan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besi (Kini, Bandar Tun Razak) yang menjadi Naib Pengerusi 1, manakala Puan Salasiah Mohamad tokoh veteran Wanita UMNO Titiwangsa menjadi Naib Pengerusi II.

Sempena dengan pelancaran rasmi Veteran UMNO Wilayah Persekutuan itu juga beberapa tokoh veteran UMNO telah dinamakan sebagai Pengerusi Penaja Veteran UMNO di peringkat Bahagian; diantara mereka ialah Datuk Azrat Gull Bin Amirzat Gull menjadi Pengerusi Penaja Bahagian Batu, Datuk Ruslan Ali Omar pula dilantik menjadi Pengerusi Penaja Bahagian Bukit Bintang, diikuti dengan Mohd. Adlan Lob menjadi Pengerusi Penaja Bahagian Lembah Pantai.

Bahagian Setiawangsa pula dipengerusikan oleh Haji Abdul Rahim Abdullah. Beliau adalah Penegerusi Tetap UMNO Cawangan Setapak Jaya 1A. Haji Ridzwan Ghani pula dilantik sebagai Pengerusi Penaja Bahagian Cheras. Bahagian Seputeh dipengerusikan sendiri oleh Datuk Zakaria Saleh, manakala Datuk Rahim Baba dan Yusof  Merah masing-masing adalah Pengerusi Penaja Bahagian Bandar Tun Razak dan Bahagian Titiwangsa.

Bahagian Segambut, Kepong dan Putrajaya masih belum dinamakan pengerusi-pengerusi penajanya. Di dalam majlis itu juga, Dato' Seri Suleiman Mohamed, mantan Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan dilantik menjadi Penasihat Veteran UMNO Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, di dalam mesyuarat ahli jawatankuasa Veteran UMNO Wilayah Persekutuan yang diadakan pada 17 Mei yang lalu, Haji Zainudin Othman (Pengerusi Bahagian Wangsa Maju) telah dilantik sebagai Setiausaha Perhubungan. Tan Sri Dr Kamal Salih pula dilantik sebagai Bendahari Perhubungan. Tan Sri Dr Kamal Salih juga merupakan mantan Ketua UMNO Bahagian Wangsa maju dan juga pernah sepenggal menjadi Ahloi Parlimen di kawasan itu. Yusof Merah (Pengerusi Bahagian Titiwangsa) pula telah dilantik sebagai Ketua Penerangan, manakala bagi jawatan Setiausaha Kerja iaitu satu jawatan eksekutif disandang oleh Abdul Rahman Hashim daripada UMNO Bahagian Setiawangsa.

Di dalam mesyuarat itu juga, Tan Sri Dr Kamal Salih telah diberi kepercayaan mengetuai Biro Kebajikan Veteran, manakala Datuk Azrat Gull dilantik mengetuai Biro Ekonomi. Jawatankuasa Veteran UMNO Wilayah Persekutuan juga akan melakukan kunjungan hormat terhadap Dato' Raja Nong Chik, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar untuk membincangkan beberapa perkara berkaitan dengan  hal ehwal kebajikan ahli-ahli veteran UMNO di Wilayah Persekutuan.

Dalam satu perkembangan lain, Datuk Zakaria Saleh, Pengerusi Veteran UMNO Wilayah Persekutuan ketika ditemui memberitahu bahawa semua ahli UMNO yang berusia 60 tahun ke atas yang tidak memegang sebarang jawatan di mana-mana peringkat parti UMNO kecuali Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap dan Pemeriksa Kira-Kira boleh memohon menjadi ahli Veteran UMNO.

"Mereka yang memohon menjadi ahli Veteran UMNO hendaklah mengemukakan borang permohonan masing-masing menerusi Jawatankuasa Veteran UMNO Bahagian untuk kelulusan, katanya.

"Bagi kes-kes tertentu, seperti ahli yang berumur antara 55 tahun hingga 60 tahun atau yang tidak menjadi ahli UMNO secara berterusan selama 10 tahun, jawatankuasa Veteran UMNO Bahagian hendaklah memajukan permohonan tersebut terus kepada Jawatankuasa Veteran UMNO Pusat," tambahnya lagi.