PERDANA MENTERI MALAYSIA

PERDANA MENTERI MALAYSIA

Monday 4 June 2012

MELAYU ITU ISLAM, BUKAN UNTUK DIPECAHKAN

Bila lagi UMNO & PAS hendak bercantum?
Bangsa Melayu hari ini tidak sewajarnya berada di dalam zon perpecahan sesama sendiri. Bukankah Melayu di negara ini rata-rata menganut agama Islam yang mentauhidkan Tuhan yang Maha Esa yakni Allah 'Azza Wajalla. Kalau kita mengImani bahawa tiada Tuhan lain yang disembah melainkan Allah, manakala Nabi Muhamad SAW pula adalah utusan Allah yang membawa rahmat sekelian alam, maka tidak ada sebab untuk kita menjadi umat Islam yang sentiasa di belenggu kepada perpecahan.

Mengapakah UMNO dan PAS yang hanya sebuah partai kini bagaikan menjadi kayu pengukur pula kepada tebal atau nipisnya pegangan Islam seseorang itu? Apakah kita masih mempercayai bahawa Islam hari ini hanya menjadi hak milik kepada sesebuah partai yang menjadikan slogannya Islam, sedangkan yang tidak menggunakan slogan Islam pada partainya juga mempunyai hak untuk menunaikan fardu solat, menunai ibadah fardu puasa malah dituntut pula untuk menunaikan fardu Haji.

Nampaknya Islam semakin dikelirukan oleh golongan yang menjadikan partai sebagai simbol penghayatan Islam mereka. Kepada golongan yang rigid dengan labelisme seumpama ini, seharusnya mereka tidak menjadi lebih asabiyah daripada golongan lain yang didakwanya sebagai asabiyah. 

Orang Melayu di negara ini janganlah mudah terperangkap dengan fahaman sempit sedemikian sehingga sanggup mengorbankan kesantunan budi pekerti ini semata-mata mempertahankan 'Rukun Partai' masing-masing.

Melayu di negara ini sepatutnya memiliki iltizam dan syakhsiah untuk mengukuhkan nilai takwa tanpa mengorbankan hubungan silaturrahmi yang menjadi tuntutan Islam. Tidak ada gunanya jika kita hanya berpegang kuat dengan perjuangan kepartian masing-masing, tetapi mudah tersasar sehingga membawa kepada perpecahan sesama umat Islam.

Perpecahan seagama dan sebangsa ini bukannya boleh membawa kebaikan, tetapi ia lebih mudah mengundang bencana kepada empayar bangsa kita. Jangan biarkan musuh Islam bertepuk tangan kegembiraan melihat perpecahan Melayu dan Islam di negara ini. Namun begitu, sindrom perpecahan ini nampaknya sudah menjadi tabiat buruk kepada bangsa Melayu yang masih mendabikkan dada, tetapi terbuta hatinya untuk mencari noktah menghentikan filosofi Melayuisme - hasad, dengki, tamak haloba.

Marilah kita suburkan iman kita kepada Allah, kita yakinkan diri kita untuk bersatu hati dan dapat pula membezakan di antara kawan dan lawan serta mampu berhadapan dengan musuh kita yang sebenarnya. Sesunggunya musuh Islam bukannya mereka yang satu qiblat dengan kita, musuh Islam bukannya UMNO, dan bukan juga PAS malah bukan juga pada nama-nama partai yang lainnya, tetapi musuh Islam ialah mereka yang berniat untuk menghancurkan agama kita. Kadang-kadang diri kita sendiri juga menjadi musuh dalam selimut yang menjadi beban kepada perjuangan menegakkan yang makruf dan mencegah kemunkaran.

Alangkah manisnya jika kita melangkah sederap dan seirama atas nama Islam dan cinta kita kepada Tuhan yang SATU. 1Malaysia menjadi lebih bermakna jika umat Islam dapat berSATU hati. Berdoalah, supaya ia bukan SATU imiginasi yang membawa mala petaka kepada agama, bangsa dan negara kita.

No comments:

Post a Comment